Bayangkan senario ini. Pada satu hujung minggu yang indah, Jasmin dan
Daniel bercadang untuk menonton wayang di pawagam berhampiran dengan
kediaman mereka.
Pasangan kekasih yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja itu hanya
berpeluang bersama ketika hujung minggu sambil pergi menonton wayang,
berekreasi ataupun menikmati makanan di restoran kegemaran.
Seperti biasa, semasa menunggu giliran membeli tiket tiba-tiba mereka
terserempak dengan Nadia, rakan pejabat Jasmin yang juga merupakan
seorang model sambilan. Perwatakan cantik dan anggun Nadia itu tanpa
disedari menarik perhatian Daniel.
“Kenapa asyik pandang Nadia? Awak rasa dia cantik?,” persoal Jasmin.
“Saya rasa kawan awak itu cantik,” jawab Daniel dengan ikhlas tanpa
berselindung apa-apa. Namun, kata-kata Daniel itu mula mengundang
masalah dalam perhubungan antara pasangan itu sebab Jasmin berasa
kekasih mula tertarik dengan wanita lain.
Situasi seumpama itu hakikatnya sering berlaku dalam mana-mana perhubungan pasangan kekasih ataupun suami isteri.
Mungkin anda juga pernah mengalaminya. Dalam situasi tersebut, luahan
ikhlas Daniel kepada Jasmin sebenarnya untuk memudahkan kefahaman bukan
merumitkan lagi perhubungan.
Menurut Kaunselor Perhubungan di Universiti Missouri, Columbia,
Amerika Syarikat, Glenn Good, lelaki bercakap dengan bahasa yang
berlainan. Ini yang menyebabkan adakalanya lelaki dan wanita sukar
berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir daripada
kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada
apa yang dimaksudkan.
Kadangkala majoriti wanita berfikir lelaki yang berbohong tentang
diri sendiri akan berbohong mengenai semua perkara lain. Maka, perasaan
curiga akan menyelubungi jiwa sehingga memusnahkan perhubungan yang
baik.
Sebenarnya memahami golongan lelaki bukan susah seperti yang
disangka. Bagi kaum wanita yang bimbang dan menghadapi masalah dengan
perkara itu Pesona memberi tip untuk anda memudahkan perjalanan cinta
anda.
Suka membisu
Golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang
sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti.
Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.
Apabila lelaki membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung
memikirkan hal tersebut, sebaliknya dia enggan memanjangkan atau
mengeruhkan sesuatu situasi buruk. Jadi, wanita usah bimbang atau
bersangka buruk bahawa pasangan anda tidak langsung mempedulikan anda.
Cukup sekadar meluahkan apa yang tersirat di hati tanpa perlu
membebel panjang. Lelaki biasanya akan faham dan selesa dengan situasi
itu.
Lelaki tidak kompleks
Apabila seseorang lelaki menunjukkan tanda bahawa dia menyukai wanita
yang pandai menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan dan
menghabiskan waktu intim bersama, wanita harus percaya bahawa itulah
yang lelaki tersebut inginkan.
Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif tetapi kebanyakan
lelaki bersifat sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai
kompleks dan sukar difahami sedangkan sebenarnya kehendak lelaki adalah
mudah sahaja.
Jangan paksa lelaki
Apabila seseorang wanita mendesak lelaki agar mendedahkan perasaannya
mungkin lelaki itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka
mendengarnya. Maka adalah lebih baik jika tidak bertanya dan menyelidik
perasaannya secara mendalam. Lebih baik bagi seseorang wanita itu
membaca bahasa badan lelaki, lirik matanya atau perubahan mendadak dalam
corak perlakuannya.
Pentingkan kejujuran
Sama seperti wanita, golongan lelaki juga mementingkan kejujuran.
Jika lelaki mengetahui kekasih atau isterinya suka bercerita kepada
wanita lain tentang dirinya besar kemungkinan lelaki itu tidak akan
bercerita lagi secara telus mengenai hal-hal rahsia yang lainnya.
Kejujuran memang penting bagi lelaki. Seorang suami ingin isterinya
menyimpan rahsia rumah tangga mereka daripada pengetahuan umum.
Hidup lelaki lebih mudah
Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu,
lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan
dalam bentuk bahasa kiasan oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap
lelaki memahaminya, sedangkan mereka lebih suka jika perkara itu
disampaikan dalam bahasa yang mudah dan berterus-terang. Sekiranya
wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, lebih baik berbual secara
terbuka kepada lelaki.
Tips Memahami Seorang Lelaki
Selasa, 13 Maret 2012
Label:
Tips Cinta
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar